7 Jenis Sombong Yang Dilaknat ALLAH S.W.T
1. Sombong karena kelebihan seseorang dengan pengetahuan ilmunya,
baik ilmu dunia atau ilmu akhirat. Apabila ilmu sudah penuh di dada, dia
menganggap orang lain jahil belaka, semua orang buta dan jika ada
pandangan yang bernas tetapi tidak diterimanya. Orang yang sombong
seumpama ini hendak dirinya selalu dihormati oleh orang lain terutama
ketika di khalayak ramai, oleh anak muridnya dan orang bawahannya serta
sentiasa meminta diberi layanan mulia.
Sabda Rasulullah SAW:
“Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya terdapat
kesombongan walau hanya sebesar zarah.” (Hadis riwayat Muslim)
2. Sombong kerana kelebihan beribadat seseorang. Penyakit orang ahli
abid yang merasa diri mereka terlalu banyak beribadat berbanding dengan
orang lain sehingga menganggap orang lain tidak mampu beribadat seperti
mereka. Sedangkan mereka sebenarnya terpedaya dengan tipu daya syaitan.
Rasulullah SAW telah mengingatkan melalui sabda Baginda yang bermaksud:
“Bahwa siapa yang memuji dirinya sendiri atas suatu amal
shaleh, bererti sudah tersesat daripada mensyukurinya, dan gugurlah
segala amal perbuatannya.“
3. Sombong kerana ego
memperkasakan keturunan, bangga kita berketurunan mulia lagi bangsawan,
suka menyebut nama datuk nenek moyang kita yang dulunya dikatakan
keramat atau hebat. Sifat sombong seperti ini tidak ubah seperti kaum
Bani Israel yang dilaknat Tuhan, seperti termaktub dalam al-Quran.
Mereka bangga dengan keturunan mereka yang banyak menjadi nabi ikutan,
konon keturunan mulia dikasihi tuhan.
4. Sombong
kerana berasa diri cantik dan sempurna malah memandang orang lain dengan
hina, seperti merendah-rendah ciptaan Allah hingga sanggup menyindir
atau memberi gelaran tidak baik seperti pendek, berkulit hitam atau
gemuk.
5. Sombong yang berpuncak daripada kelebihan
harta yang diberi Allah membuat kita lupa daratan, berbangga dengan
kekayaan yang ada, rumah besar, kereta BMW mewah hingga memandang rendah
orang yang kurang berada.
6. Sombong kerana kekuatan
dan kegagahan diri. Semua orang akan dibuli kerana kuatnya badan kita
tidak terperi, hingga boleh memakan kaca, kunyah besi, boleh menarik bas
dan lori hanya dengan gigi, boleh dihempap badan dengan batu dan besi,
atau sebagainya.
7. Sombong dan berbangga kerana
ramainya pengikut setia di belakang diri, sepertinya orang alim
berbangga dengan ramainya murid yang memuji. Guru silat pula berbangga
dengan ramainya murid yang tidak lut ditetak parang dan dijilat api.
Oleh itu, hendaklah kita memeriksa diri kita betul-betul, lihat sama
ada 7 perkara yang membawa kepada penyakit sombong ini ada pada kita
atau tidak. Penawarnya ada di tangan sendiri kerana penyakit sombong ini
hanya akan memakan diri. Tidak sekarang, mungkin di masa akan datang.
Ubatilah sifat sombong itu dan jangan sesekali menghina orang lain
kerana ianya sifat yang dilaknat oleh Allah. Fikirkanlah..
Rasulullah SAW bersabda:
“Orang yang sombong, keras kepala dan takbur, akan dikumpulkan pada
hari kiamat, dalam bentuk semut yang kecil, yang dipijak mereka oleh
manusia, kerana hinanya mereka pada Allah.” (Diriwayatkan oleh Al-Bazzar
dari Abu Hurairah)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar